Jiwa-jiwa itu

"Islam itu bagaikan gelombang, ianya bermula daripada buih-buih yang kecil. Lalu buih-buih tadi bersatu membentuk satu pusaran dan daripada pusaran itu lahirnya gelombang. Gelombang itu sifatnya berkocak dan ketika mana diusik atau diganggu, boleh jadi gelombang itu akan membesar dan terus membesar."

Semangat Pemuda/i yang terpandu bakal mencetuskan satu gelombang yang boleh mengubah keseluruhan landskap lautan. Semangat itu sebenarnya lahir daripada cebisan-cebisan "fahmu" yang bertitik tolak atas dasar taqwa. Taqwa seperti yang sentiasa diuar-uarkan oleh khatib di mimbar jumaat iaitu gerun dan takut kepada Allah pada setiap ketika. Persoalannya, bagaimana pula rupa bentuk "semangat terpandu" itu?

Dr. Yusof Al- Qardhawi menyatakan bahawa,

"...semangat zaman kita ini ialah semangat perancangan. kita tidak boleh membina segala gerakerja berdasarkan emosi dan lantunan perasaan yang dibawa..."

Bukankah Allah telah menerangkan,

"Dan persiapkanlah segala kekuatan..."

[al-Anfal ayat 60]

Di dalam satu temuramah bersama Khalil Ismail al-Hayya
Ketua WHIP HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin. Beliau menyatakan bahawa,

"..bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi Allah."

Hipotesis awal ialah Islam Pasti Menang. Menang dengan wujudnya perancangan serta strategi yang lahir daripada "semangat terpandu".

Masanya kini bukan untuk menumpukan sepenuh kudrat kepada 1001 masalah yang wujud di dalam gerakan. Kita perlu keluar daripada kepompong "kebiasaan" lalu terus melangkah seperti satu ungkapan "srikandi unggul", bergerak secara agresif dan positif. Mudahnya, tutup dan penuhilah lompang yang ada di dalam sesebuah gerakan sebaliknya bukan hanya bijak dalam menuding jari ke arah yang silap dan salah. Itu yang sepatutnya.

Jiwa ini terlalu amat merindui jiwa mereka yang berkobar-kobar terhadap perjuangan yang suci ini. Perhatikan perutusan as-Syahid Imam Hasan al-Banna kepada para mujahidin dalam Ikhwanul Muslimin yang percaya kepada kemuliaan dakwah mereka, yang percaya kepada kesucian fikrah mereka dan sungguh-sungguh berazam untuk sehidup dan semati dengan dakwah dan fikrah mereka,

1- Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkannya di dalam dirinya.
2- Bahagia hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keimanan, kebenaran dan keadilan.
3- Kemenangan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban dan kuat menahan penderitaan.
4- Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T.
5- Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keduanya.
6- Belajarlah memfanakan diri demi kepentingan cita-cita dan agama.

(Usrah dan Dakwah - as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Keadaan di dalam gerakan ini sifatnya agak kompleks. Ada benda yang memang tidak dapat diterangkan secara lebih dalam seperti halnya Nabi suatu ketika dahulu tidak dapat menerangkan tentang kewujudan daya graviti yang ada pada bintang kepada para sahabat. Tetapi sememangnya daya graviti itu wujud. Nabi hanya menggunakan perkataan yang mudah dan tidak menjelaskan secara satu persatu kerana bimbang menimbulkan kekalutan kepada masyarakat ketika itu. Apa pula kaitannya dengan perjuangan? Nah! Mari berfikir.

Perhatikan sebaik baik perutusan as-Syahid Imam Hasan Al-Banna pada point ke 4. "Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T."

Sebab itu ada ungkapan yang menyatakan bahawa mereka yang melabelkan diri mereka sebagai pejuang, tetapi tidak mendirikan solat malam sebenarnya menipu diri sendiri. Mengapa mesti begitu? Mudahnya, perjuangan sarat dengan cabaran dan dugaan. Hanya Allah "teman setia" di kala luka dan lara, sebab itu perlunya pergantungan kepada Allah semaksimum kudrat yang ada.

Kita perlu bangkit setapak lagi untuk merintis "gelombang" itu. Pulau itu perlu dibasahi oleh titik peluh dan pengorbanan kita. Sebelum ini kita dengan kudrat yang ada telah berusaha serta bergerak kerja dan kita yakin bahawa Allah akan "membayarnya". Kita tidak akan puas terhadap semua itu sehingga datang janji Allah. Kita perlu mencetuskan gerak kerja yang luar biasa lebih daripada kebiasaan. Bagaimana caranya? Semua itu bermula daripada kita yang berani mewujudkan eksperimen demi eksperimen berpandukan "taqwa". Ayuh! wahai "jiwa-jiwa itu".

"..wahai tuhan, jiwa ini terlalu rindu dan cinta kepada jiwa mereka yang berkobar-kobar dengan perjuangan-Mu. Wahai tuhan, jiwa ini sudah terlalu lama menantikan "jiwa-jiwa setia" untuk terus tegar di dalam misi dakwah-Mu. Jika tersilap atau tersalah yang membuatkan jiwa-jiwa tersebut lari daripada aku, perbetulkan aku tuhan agar aku terus bersama dengan jiwa-jiwa itu. Tuhan, aku merinduinya. Pertemukan aku dengan jiwa-jiwa yang sarat di dalamnya dengan semangat perjuangan yang membara, membuak-buak seruan syahid di jiwanya, terus tegar di dalam misi dakwah walau 1001 "das tembakan" yang datang. Pada masa yang sama gerun dan takut kepada-Mu setiap ketika, itu yang paling mustahak. Wahai tuhan, satukan hati-hati kami dengan kalimah perjuangan-Mu [Allah hu akhbar]. Teguhkan paksi perjuangan kami untuk tegar bergerak mara terus kehadapan. Aduhai tuhan, aku terlalu merinduinya. Pertemukan jiwa aku dengan jiwa-jiwa itu..."

Peringatan dari Allah,

"wahai Muhammad, Kobarkan semangat para mukmin untuk berperang. Jika sekiranya terdapat 20 yang sabar di antara kamu, nescaya meraka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Jika ada 100 yang sabar, nescaya akan dapat mengalahkan 1000 tentera musuh.."

[al-Anfal: 65]

Kuncinya ialah "Sabar".

Blogger Templates by Blog Forum