Krangka ilusi



Itulah laungan seorang ust di dalam mengutarakan isi ktuhbahnya yang cukup membuatkan diri saya sedikit terpalu. Hebat juga laungannya dan berkali-kali dia cuba melaungkan bahawa;

"Sampai bila-bila realiti mengalahkan ilusi.."

Saya berfikir apabila seorang sahabat saya Nashad, mengajukan soalan di dalam usrah pada minggu yang lalu,

"Mengapa tidak ada bantuan terus daripada Allah untuk menghancurkan Yahudi Laknatullah?"

Saya seketika terdiam memikirkan jawapan yang sesuai untuk persoalan tersebut. Saya tidak keruan, tidak boleh duduk diam, segalanya semacam paluan kepada saya daripada persoalan yang diajukannya. Bentak hati,

"Saya telah menyebabkan bantuan Allah itu terhalang."

Rupanya saya juga telah menyumbang kepada kemenangan Yahudi dengan malasnya datang masjid untuk solat berjemaah, lebih-lebih lagi pada waktu subuh.

"Kenapa mungkin ini bisa berlaku?"

Salah satunya, doa adalah senjata orang mukmin. Bagaimanalah bentuk doa yang dihadapkan kepada Allah dengan sikap saya yang malas datang solat di mana tempat azan dilaungkan? Aduh! Saya membantu kemenangan Yahudi. Setuju atau tidak saya serahkan kepada anda dan saya sangat bersetuju dengan apa yang saya utarakan bahawa saya telah membantu kemenangan Yahudi. Ini pandangan saya, saya pulangkan kepada anda untuk menganalisisnya!

"Maafkan kesalahan hamba-Mu ini.."

Umat islam abad ini memang ramai tetapi hanya ilusi dan golongan Yahudi yang sedikit ini merupakan realiti. Saya bilang bahawa, ilusi akan tunduk kepada realiti. Di zaman awal Rasulullah, umat Islam yang bilangannya minoriti itu ialah realiti dan musuh-musuh islam yang ramai itu hanya ilusi. Saya bilang sekali lagi, ilusi akan tunduk kepada realiti.

"Boikot kita realiti atau ilusi?"

Kalau realiti, apa kesannya?

Kita lumpuh dan kalah kerana kita umat islam ilusi. Kita hanya berbangga kepada zaman Islam masa lampau sedangkan kita hidup di zaman kita. Tuntas kepada permasalahan kita ialah kerana tenaga pemikir dan penggerak yang profesional di dalam sesuatu bidang sangat kurang. Kita kering daripada siraman penjanaan pemikiran profesional muslim. Kita masih tandus!

Sifir kita ialah,

"Kita tidak ada kuasa dan semua itu adalah peranan mereka yang berkuasa. Itu jugalah peranan pemimpin Barisan Nasional di bawah kepimpinan Pak Lah Badawi. Sepatutnya mereka yang bertanggungjawab.."

Itulah sifir kita sebab di dalam gerakan kita juga di ajar bahawa,

"Semua ini dan itu ialah peranan Pimpinan.."

Saya bilang begini,

"Ya, hakikatnya memang begitu. Tapi kita, apa yang telah kita lakukan?"

Ayuh! kita jana pemikiran profesional muslim. Kita jana sehingga tidak ada yang kering dengan cara dan kaedah di dalam ilmu dakwah. Kita jana agar tidak mudah tandus dan dayus dengan masalah yang ada. Kita jana supaya sentiasa bersangka baik bahawa cabaran dan halangan datang daripada Allah yang ingin mematangkan minda. Kita jana sehingga jiwa-jiwa itu membara dan sampai satu tahap meluap-luap untuk Islam. Kita jana minda sehingga masalah yang timbul adalah untuk di selesaikan bukan untuk diperdebatkan tanpa sebarang tindakan. Kita jana bahawa perlunya bertindak walau sekadar menjadi penonton biasa.

Laungan boikot kita ilusi dan ramainya umat islam hanya ilusi. Saya tidak mengatakan bahawa kita perlu berhenti daripada melaungkan gesaan boikot. Sebab itu saya pernah mempertikaikan Pilihan raya yang mengatakan bahawa gerakan kita perlu sokongan yang ramai. Logik akal memang begitu! Tetapi sebagai pendokong tuntutan asas seperti Jemaah subuh, saya dan kita perlu selesaikan. Saya bilang bukan Qiamullail tetapi Jemaah subuh! Kita memang tidak mampu menjadi wali Allah yang sentiasa beribadah siang dan malam tapi sekurang-kurangnya biarlah yang asas, kita sebagai pendokong perlu selesaikan. Itulah tuntutan kita yang sebanar di dalam gerakan.

Saya hanya mampu mempelawa, mahu atau tidak saya serahkan kepada anda. Saya bilang, bahawa kita bisa sahaja keluar daripada kepompong umat ilusi. Caranya, kita jana minda profesional muslim. Mungkin agak lambat tetapi itulah yang terbaik dan fitrahnya jalan islam itu memang panjang dan berliku. Semua ini juga adalah pandangan saya.

Blogger Templates by Blog Forum