Fikir gila-gila

Aku berfikir bagaimana bentuk wajah dan gaya anak-anak ku nanti.
Aku mula mempersiapkan langkan mula dari sekarang. Kalau Luqman Al-Hakim telah mempersiapkan langkah sewaktu usia muda untuk menjadi ayah, kenpa aku tidak? Lalu aku mula menyusun kembali jadual tarbiyah harian.

Sebelum ini aku malas solat berjemaah subuh di masjid, malas baca quran setiap hari dengan memahami maknanya, malas berzikir mengingati Allah, dan sebagainya bentuk malas yang aku ada. Tetapi setelah aku membayangkan bagaimana bentuk gaya dan corak anak aku nanti, aku kembali bersemangat untuk mula menyusun kembali jadual tarbiyah di dalam hidup aku. Sememangnya aku adalah hamba yang banyak dosa dan lupa terhadap nikmat-nikmat Allah. Aku ingin berkongsi kepada semua pembaca blog mengenai bentuk impian dan hasrat anak-anak aku nanti. Mari perhalusi !

Anak pertama aku:

Aku mahu menghantarnya ke sekolah agama dan menjadikannya sebagai Hafiz Quran. Aku akan memdidiknya dari awal, aku akan merotannya sekiranya lewat menunaikan solat berjemaah. Satu qiam solat fardhu tertinggal di balas dengan satu rotan. Itu setelah dia berumur 10 tahun. Aku mahu mendidiknya sehingga dia faham mengenai gerakan Islam dan bijak dengan suasana masyarakat sekeliling.

Selepas sahaja anak sulung aku ini boleh menghafaz Quran dengan baik dan mempunyai fikrah yang aku kira sudah baik, maka aku akan memberikan cadangan kepadanya untuk mengambil kelas kerjaya sebagai Juruterbang [Pilot]. Aku mahu dia belajar bersungguh-sungguh sehingga boleh menjadi sebagai ketua Juruterbang. Setelah sahaja dia tamat, aku akan memintanya untuk menggabungkan apa yang terdapat di dalam Quran dengan perkerjaannya sebagai Ketua Juruterbang. Aku akan memintanya untuk mewujudkan dimensi tarbiyah atau berusaha sedaya sehingga berjaya agar para pramugari Islam di dalam Kapal terbang menutup aurat dengan sempurna. Para pramugari bukan Islam juga perlu mengenakan pakaian dengan baik.

"Berapa banyak pahala dan ganjaran yang dia akan dapat?"
Hanya Allah yang tahu semua itu. Jika berjaya, maka dia telah berjaya menjaga maruah wanita Islam yang semestinya wajib juga untuk kita sebagai muslim memelihara bukan sahaja dengan ceramah dan kuliah tetapi kaedah dan cara perlu divariasikan. Salah satunya, dengan keadaan anak aku ini sebagai Ketua juruterbang. Anda bayangkan, berapa ramai para Pramugari Islam di dalam Kapal terbang berjaya menutup aurat dengan baik hanya dengan ada seorang Ketua Juruterbang Islam yang ada fikrah. Pada masa yang sama aku juga akan mencadangkan kepada anak sulung aku, berusaha sedaya sehingga berjaya agar minuman keras atau arak tidak lagi di bawa atau di hidangkan di dalam Kapal Terbang dengan sebab dan alasan kukuh yang tidak perlu aku utarakan di sini.

Sebenarnya banyak lagi dimensi tarbiyah yang boleh di lakukan hanya sebagai seorang Ketua Juruterbang. Gajinya yang berpuluh ribu sebagai Ketua Juruterbang akan aku cadangkan untuk disumbangkan kepada gerakan Islam, membuat sekolah pondok, dan sebagainya untuk bekalan akhirat, insya-Allah.

"Adakah anda percaya bahawa gerakan Islam kita pada hari ini banyak di support oleh tenaga-tenaga seperti mereka ini?" Mereka tidak terlibat secara langsung di dalam gerakan Islam tetapi dari sudut lain [wang ringgit, makanan, dan sebagainya] merekalah "taiko" penyumbang kepada gerakan Islam.

Anak kedua aku:

Latar belakang pendidikan sama dengan anak aku yang sulung tadi, tahfiz dan hafaz Quran. Aku mahu menjadikan mereka tahfiz dan hafaz di antara sebabnya ialah mahu mendapatkan syafaat daripada mereka di akhirat kelak.

Aku akan mencadangkan kepada anak aku yang kedua ini sebagai ahli perniagaan yang termuka. Aku mahu menjadikannya seperti seorang sahabat yang hebat di dalam urusan perniagaan, Abdul Rahman Bin Auf. Aku memang suka berniaga dan aku turunkan ilmu itu kepadanya. Aku akan membuatkannya agar berminat kepada perniagaan sehingga mampu mewujudkan satu "Supermarket Islam" yang terkemuka yang mempunyai rangkaian antarabangsa. Aku mahu anak aku yang kedua menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan yang hidup susah, yang kurang berkemampuan, dan yang memang memerlukan pekerjaan. Pokoknya mereka boleh berkerja dan warganegara Malaysia. Aku akan mencadangkan kepada anak aku yang kedua juga agar membuat usrah kepada semua pekerjanya. Usrahnya membentuk peribadi muslim yang sanggup berkorban apa sahaja untuk Islam. Aku membayangkan bagaimana anak aku yang kedua ini juga mampu mengenakan syarat pekerjaan kepada pekerja wanita Islam untuk menutup aurat dengan sempurna sehingga orang bukan Islam berminat dan ingin memasuki Islam. Aku ingin mereka terasa aura Islam itu.

Aku mahu anak aku yang kedua ini agar mewujudkan rangkaian di seluruh dunia dengan menawarkan produk serta makanan Muslim. Kalau di Sandakan belum ada pasaran Roti Muslim, maka anak aku yang ke dua perlu mewujudkankannya di samping "Supermarket Islam" tetap beroperasi di pelusuk antarabangsa. Aku mahu menjadikan anak aku yang kedua sebagai ahli perniagaan Islam yang berjaya. Mampu memberi peluang pekerjaan kepada orang-orang Islam, mampu menyediakan manhaj tarbiyah kepada pekerjanya melalui usrah, mampu mendidk pekerjanya dengan akhlak Islam, mampu menyumbangkan wang ringgit kepada gerakan Islam, supermarketnya mampu dijadikan gedung barangan untuk gerakan Islam secara percuma [bayar sikit ja], mampu mendirikan sekolah-sekolah pondok dan sebagainya untuk Islam, insya-Allah.

Anak yang ketiga dan seterusnya biarlah rahsia. Aku juga berhasrat agar ada seorang anak perempuan aku menjadi seorang juru solek Islam yang terkemuka, mampu berdakwah kepada setiap pelanggannya sehingga ingin mendalami Islam secara Syumul. Aku kongsikan bukannya untuk temberang dan sebagainya, sekadar perkongsian untuk difikirkan bersama. Aku bukan mengongkong anak aku tetapi mahu mencorakkannya. Kita boleh mencorak anak-anak kita nanti."Bukankah anak yang baru lahir itu bagaikan kain putih yang putih bersih?"

Tapi aku terfikr, mampukah aku mereliasasikan impian ini dengan gaya dan sikap aku sekarang ini. Maka, aku kena berubah! Satu lagi paling penting, bidadari atau isteri yang akan bersama aku nanti mesti mempunyai impian yang sama dengan aku. Analoginya, rentak muzik dan lagunya kena seiring, barulah "teon" muzik dan lagunya tidak lari.

Mungkin ada yang mempersoalkankan bahawa ini hanya satu impian dan teori semata-mata. Aku katakan,

"Ya dan betul".

Tetapi siapa akan menyangka esok atau hari seterusnya akan menjadi kenyataan. Pernah satu ketika dahulu aku berfikir mengenai "gelombang" walau pada mulanya sekadar berkeyakinan bahawa "gelombang itu pasti datang". Siapa boleh menduga bahawa gelombang itu sudah berlaku dan tetap akan berlaku pada masa akan datang. Jika tidak pada hari ini, pasti esok atau hari berikutnya. Aku ulang lagi, "mungkin impian ini juga satu impian dan teori semata-mata tetapi siapa sangka esok menjadi kenyataan." Pokoknya, bidadari aku perlu membantu aku.

Maka aku memohon jasa baik setiap pembaca blog ini, tolong doakan impian dan hasrat aku ini jika ia baik untuk Islam.

"Doakan ya.."
Selepas solat maghrib, saya terus berjumpa dengan Hasli,

"Malam ni kita ada hantar wakil?"

"Tidak da"

Hasli menjawab dan pada aksi wajahnya melihat seolah-olah saya bergurau.

Setelah itu saya terus mencari pemain gitar terkemuka di dalam gerakan Islam, Adzmin Awang.

"Min, jom kita masuk battle of the band"

Bersahaja Adzmin menjawab,

"Mana ada orang"

"Jangan risau, ada orang juga."

Saya menyakinkan Adzmin. Saya terus bergegas mencari geng-geng Sandakan. Pemain gitar, pemain drum, dan lain-lain. Saya menawarkan diri menjadi penyanyi.

Lalu saya berjumpa dengan Pengarah Battle Of the Band, menyatakan bahawa saya dan kumpulan saya mahu membuat persembahan di akhir pertandingan Battle Of the Band. Sayangnya, permintaan itu di tolak atas alasan lewat untuk saya memaklumkan kepadanya.
Kalaulah, En Zulkifli memberikan peluang kepada saya dan kumpulan saya membuat persembahan pada malam itu, sewaktu pertandingan Battle Of the Band, semestinya satu lagi transformasi tarbiyah dan dakwah di dalam gerakan Islam.

Saya terus membayangkan, bagaimana ahli gerakan Islam mampu merintis gerakan transformasi tarbiyah dan dakwah. Jika tangan ini mampu, akan saya kaderkan pemuzik-pemuzik Battle Of the Band dan saya akan biarkan mereka berjuang di medan mereka sebagai pemuzik, pokoknya mereka adalah ahli gerakan Islam. Aduhai! Impian itu.

Lawak Perang



Inilah impak yang akan berlaku kepada tentera perang sekiranya disiplin ilmu dalam perang tidak dititikberatkan.

"Selamat berhibur sambil mendidik jiwa."

Deraian sayu A*ir



Sewaktu melangkah ke alam Kampus,
saya riang tidak terkata-kata
berbekal slogan "saya anak pertama memasuki IPTA."

Terlalu banyak laungan harapan dan impian
daripada keluarga yang saya cintai
dan itu belum tambah lagi harapan dan impian sendiri.
Saya berimaginasi bahawa dunia ini
sudah berada di tangan saya.
Hanya Surah Muhammad, ayat-7 pembakar semangat.

Kadang-kadang hilang pedoman
hanya doa kalian yang menguatkan jiwa ini.
Harapan dan impian,
satu demi satu di lupakan,
untuk langkah ini.
Namun pengorbanan ini kecil nilainya
jika dibandingkan dengan generasi para sahabat
yang telah banyak berkorban untuk Islam, terlalu jauh!
Bagaikan bumi dengan langit bahkan bezanya lebih daripada itu.

Saya suka berdebat.
Impian ingin mengikuti pertandingan debat
membara-bara di jiwa
sewaktu melangkah ke alam kampus.
Di tahun satu,
saya berpeluang mewakili Kampus dalam pertandingan debat,
bersama dengan saya ialah Maziah dan Bob.
Tetapi saya melupakan impian itu.
Waktu tu bertembung dengan PR-Kampus.

Mereka memaksa saya untuk pergi.
"Mereka menyangka bahawa saya tidak ada keinginan seperti mereka."
Keinginan untuk berdebat mewakili Kampus.
Bahkan keinginan itu menyala-nyala
tetapi terpaksa saya lupakan
hanya kerana PR-Kampus.
Waktu tu saya belum ahli!

Itu sewaktu belum menjadi ahli
dan saya tidak mahu bercerita
sewaktu sudah menjadi ahli dan pimpinan
mengenai harapan dan impian yang terpaksa saya lupakan.

Kadang-kadang terdetik di jiwa,
Ingin keluar jalan-jalan
pergi KFC, Pizza Hut dan sebagainya (saya suka KFC).
Namun keinginan itu terpaksa saya kurangkan,
wang saya salurkan untuk langkah ini.
Setiap kali dapat PTPTN,
mesti rasa pelik.
Cepat benar habis!

Satu ketika saya buka akaun (Bank Islam)
tujuannya adalah untuk Baitul Muslim.
Tetapi tidak bertahan lama.
Duit itu terpaksa saya guna,
Sekali lagi, untuk langkah ini!
Paling memilukan kerap kali
terpaksa pinjam duit daripada Muslimat.

"Mereka menyangka bahawa saya tidak mempunyai perancangan hidup seperti insan lain!"

Mereka sibuk dengan study dan assignment
ingin mendapatkan 3.00 pointer dan ke atas.
Berusaha sedaya demi segulung ijazah
untuk dipersembahkan kepada keluarga.
Kembar selalu ingatkan saya
tentang tanggungjawab seorang anak.
Suatu ketika Kembar message saya.
Penuh emosi (marah).
Tertanya, "sejak bila pla Kembar pandai marah?"
Walaupun saya tahu itu bukan daripada kembar
tetapi saya biarkan kerana itu adalah benar.

"Mereka menyangka bahawa saya melupakan pengorbanan Ibu yang sarat mengandungkan saya. Mereka menyangka bahawa saya melupakan pengorbanan ayah yang siang malam turun ke laut untuk mencari ikan, udang dan sebagainya."

Mereka menyangka bahawa saya tidak melakukan dengan baik,
terlalu mengharap kesempurnaan.
Sehingga saya tewas sehari dengan deraian air mata,
memikir cara yang terbaik untuk mencapai kesempurnaan.
Ayah saya nelayan dan ibu saya suri rumah sepenuh masa,
tidak pernah belajar asas agama.
Begitu juga saya.

Jauh sangat jika dibandingkan dengan Presiden GAMIS.
Kadang-kadang terfikir juga nak jadi begitu.
Tetapi ini sahaja pun kudrat yang ada.
Memang suatu yang normal insan mengharap kesempurnaan.
Alahai! Maafkan saya tidak dapat memberikan kesempurnaan.
Saya tetap yakin bahawa Allah itu maha adil.

Ketika semua datang untuk bercerita,
ketika semua datang untuk mengadu,
ketika semua datang untuk meminta.
Saya datang kepada siapa
untuk bercerita, mengadu, dan meminta?
Tapi itu memang tanggungjawab saya pun!

Kepada ayah dan ibu,
saya tidak pernah lupa laungan harapan itu.
Saya akan tunaikan dengan kudrat yang ada.

Kadang-kadang terasa nak kembali ke alam kanak-kanak
yang tidak pernah tahu
bebanan ayah dan ibunya.
Ingin hidup dengan tidak mengerti apa-apa.
Tapi usia itu tidak mungkin berpatah semula
walau sedikit pun.
Hidup kena teruskan!

Saya ingin bersama dengan bulan dan bintang,
tapi mereka tidak mengerti apa yang saya maksudkan.
Mereka tidak punya daya dan kekuatan seperti kebanyakan insan.
Jangan biarkan saya merindui bulan dan bintang,
mereka tidak tahu apa-apa.
Kalau pun tidak mampu bersama saya berganding tangan,
sekurang-kurangnya lambailah tangan dari jauh.
Berilah harapan!

Aduhai nafas ini!
Berdegup kencang bila melihat
Abdillah dengan pemikirannya,
Adzmin dengan keinginannya,
Nadia dengan semangatnya,
Sumarni dengan kerjanya,
Shila dengan tugas yang bertindih-tindih.
Saya kira mereka ini ditarbiyah di alam Kampus.
Begitu juga sahabat-sahabat dan adiq-adiq yang lain
yang tidak sempat di sebut namanya.

"Kalian sangat berharga daripada apa yang telah dikorbankan.
Kalian juga juga saham yang sangat berharga apabila bertemu dengan Allah kelak.
Semua kalian sangat berharga lebih daripada dunia dan seisinya."


Banyak sangat yang ingin saya kongsikan,
bahkan kesemua itu bisa mengalirkan air mata.
Tetapi cukuplah dengan bingkisan yang sedikit ini.

Bingkisan ini untuk pengajaran.
Walaupun memang tidak dapat di fahami
tetapi ia berguna untuk generasi akan datang.
Mungkin juga amaran untuk mereka yang akan memimpin layar,
Bahawa lautan tidak akan selalunya tenang.
Mungkin di hadapan ada ombak badai yang dahsyat menanti
ingin menghempas layar,
ingin memusnahkan layar.
Kita perlu pertahankan dengan kudrat yang ada
walau bagaimana sekalipun.
Aduhai, kenangan itu.

Kekurangan kudrat memimpin layar ini
bukan bermakna kita lemah dan mahu mengalah.
Bahkan kita bangga dengan kudrat yang ada,
daripadanya kita belajar, jatuh serta bangkit.
Kita tidak pernah takut untuk terus melangkah dan melangkah
kerana keyakinan kita bahawa Allah ada bersama.

Bahkan jiwa kita menyala-nyala,
ingin menanti giliran untuk Syahid.
Tidak ada sebab memaksa kita untuk terus melangkah
melainkan faham kita kerana Janji Allah,
surah at-Taubah, ayat 111.

"ya Allah, jadikan ramadhan ini untuk jiwa kami lebih tegar (istiqamah) di dalam medan ini. Lanjutkan usia kami kiranya usia kami ini berguna untuk kami mendidik generasi kami akan datang. Sekiranya selepas ini kami menderhakai-Mu (futur) di dalam medan ini, maka hentikanlah nafas kami dari muka bumi-Mu. Sesungguhnya kami tidak mampu menanggung bebanan dosa yang berat untuk kami persembahkan kepada-Mu di akhirat kelak. Tolong kami ya Allah, demi kemuliaan-Mu dan bulan ramadhan."

ameen..

Jiwa-jiwa itu

"Islam itu bagaikan gelombang, ianya bermula daripada buih-buih yang kecil. Lalu buih-buih tadi bersatu membentuk satu pusaran dan daripada pusaran itu lahirnya gelombang. Gelombang itu sifatnya berkocak dan ketika mana diusik atau diganggu, boleh jadi gelombang itu akan membesar dan terus membesar."

Semangat Pemuda/i yang terpandu bakal mencetuskan satu gelombang yang boleh mengubah keseluruhan landskap lautan. Semangat itu sebenarnya lahir daripada cebisan-cebisan "fahmu" yang bertitik tolak atas dasar taqwa. Taqwa seperti yang sentiasa diuar-uarkan oleh khatib di mimbar jumaat iaitu gerun dan takut kepada Allah pada setiap ketika. Persoalannya, bagaimana pula rupa bentuk "semangat terpandu" itu?

Dr. Yusof Al- Qardhawi menyatakan bahawa,

"...semangat zaman kita ini ialah semangat perancangan. kita tidak boleh membina segala gerakerja berdasarkan emosi dan lantunan perasaan yang dibawa..."

Bukankah Allah telah menerangkan,

"Dan persiapkanlah segala kekuatan..."

[al-Anfal ayat 60]

Di dalam satu temuramah bersama Khalil Ismail al-Hayya
Ketua WHIP HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin. Beliau menyatakan bahawa,

"..bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi Allah."

Hipotesis awal ialah Islam Pasti Menang. Menang dengan wujudnya perancangan serta strategi yang lahir daripada "semangat terpandu".

Masanya kini bukan untuk menumpukan sepenuh kudrat kepada 1001 masalah yang wujud di dalam gerakan. Kita perlu keluar daripada kepompong "kebiasaan" lalu terus melangkah seperti satu ungkapan "srikandi unggul", bergerak secara agresif dan positif. Mudahnya, tutup dan penuhilah lompang yang ada di dalam sesebuah gerakan sebaliknya bukan hanya bijak dalam menuding jari ke arah yang silap dan salah. Itu yang sepatutnya.

Jiwa ini terlalu amat merindui jiwa mereka yang berkobar-kobar terhadap perjuangan yang suci ini. Perhatikan perutusan as-Syahid Imam Hasan al-Banna kepada para mujahidin dalam Ikhwanul Muslimin yang percaya kepada kemuliaan dakwah mereka, yang percaya kepada kesucian fikrah mereka dan sungguh-sungguh berazam untuk sehidup dan semati dengan dakwah dan fikrah mereka,

1- Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkannya di dalam dirinya.
2- Bahagia hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keimanan, kebenaran dan keadilan.
3- Kemenangan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban dan kuat menahan penderitaan.
4- Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T.
5- Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keduanya.
6- Belajarlah memfanakan diri demi kepentingan cita-cita dan agama.

(Usrah dan Dakwah - as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Keadaan di dalam gerakan ini sifatnya agak kompleks. Ada benda yang memang tidak dapat diterangkan secara lebih dalam seperti halnya Nabi suatu ketika dahulu tidak dapat menerangkan tentang kewujudan daya graviti yang ada pada bintang kepada para sahabat. Tetapi sememangnya daya graviti itu wujud. Nabi hanya menggunakan perkataan yang mudah dan tidak menjelaskan secara satu persatu kerana bimbang menimbulkan kekalutan kepada masyarakat ketika itu. Apa pula kaitannya dengan perjuangan? Nah! Mari berfikir.

Perhatikan sebaik baik perutusan as-Syahid Imam Hasan Al-Banna pada point ke 4. "Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T."

Sebab itu ada ungkapan yang menyatakan bahawa mereka yang melabelkan diri mereka sebagai pejuang, tetapi tidak mendirikan solat malam sebenarnya menipu diri sendiri. Mengapa mesti begitu? Mudahnya, perjuangan sarat dengan cabaran dan dugaan. Hanya Allah "teman setia" di kala luka dan lara, sebab itu perlunya pergantungan kepada Allah semaksimum kudrat yang ada.

Kita perlu bangkit setapak lagi untuk merintis "gelombang" itu. Pulau itu perlu dibasahi oleh titik peluh dan pengorbanan kita. Sebelum ini kita dengan kudrat yang ada telah berusaha serta bergerak kerja dan kita yakin bahawa Allah akan "membayarnya". Kita tidak akan puas terhadap semua itu sehingga datang janji Allah. Kita perlu mencetuskan gerak kerja yang luar biasa lebih daripada kebiasaan. Bagaimana caranya? Semua itu bermula daripada kita yang berani mewujudkan eksperimen demi eksperimen berpandukan "taqwa". Ayuh! wahai "jiwa-jiwa itu".

"..wahai tuhan, jiwa ini terlalu rindu dan cinta kepada jiwa mereka yang berkobar-kobar dengan perjuangan-Mu. Wahai tuhan, jiwa ini sudah terlalu lama menantikan "jiwa-jiwa setia" untuk terus tegar di dalam misi dakwah-Mu. Jika tersilap atau tersalah yang membuatkan jiwa-jiwa tersebut lari daripada aku, perbetulkan aku tuhan agar aku terus bersama dengan jiwa-jiwa itu. Tuhan, aku merinduinya. Pertemukan aku dengan jiwa-jiwa yang sarat di dalamnya dengan semangat perjuangan yang membara, membuak-buak seruan syahid di jiwanya, terus tegar di dalam misi dakwah walau 1001 "das tembakan" yang datang. Pada masa yang sama gerun dan takut kepada-Mu setiap ketika, itu yang paling mustahak. Wahai tuhan, satukan hati-hati kami dengan kalimah perjuangan-Mu [Allah hu akhbar]. Teguhkan paksi perjuangan kami untuk tegar bergerak mara terus kehadapan. Aduhai tuhan, aku terlalu merinduinya. Pertemukan jiwa aku dengan jiwa-jiwa itu..."

Peringatan dari Allah,

"wahai Muhammad, Kobarkan semangat para mukmin untuk berperang. Jika sekiranya terdapat 20 yang sabar di antara kamu, nescaya meraka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Jika ada 100 yang sabar, nescaya akan dapat mengalahkan 1000 tentera musuh.."

[al-Anfal: 65]

Kuncinya ialah "Sabar".

Blogger Templates by Blog Forum