Deraian sayu A*ir



Sewaktu melangkah ke alam Kampus,
saya riang tidak terkata-kata
berbekal slogan "saya anak pertama memasuki IPTA."

Terlalu banyak laungan harapan dan impian
daripada keluarga yang saya cintai
dan itu belum tambah lagi harapan dan impian sendiri.
Saya berimaginasi bahawa dunia ini
sudah berada di tangan saya.
Hanya Surah Muhammad, ayat-7 pembakar semangat.

Kadang-kadang hilang pedoman
hanya doa kalian yang menguatkan jiwa ini.
Harapan dan impian,
satu demi satu di lupakan,
untuk langkah ini.
Namun pengorbanan ini kecil nilainya
jika dibandingkan dengan generasi para sahabat
yang telah banyak berkorban untuk Islam, terlalu jauh!
Bagaikan bumi dengan langit bahkan bezanya lebih daripada itu.

Saya suka berdebat.
Impian ingin mengikuti pertandingan debat
membara-bara di jiwa
sewaktu melangkah ke alam kampus.
Di tahun satu,
saya berpeluang mewakili Kampus dalam pertandingan debat,
bersama dengan saya ialah Maziah dan Bob.
Tetapi saya melupakan impian itu.
Waktu tu bertembung dengan PR-Kampus.

Mereka memaksa saya untuk pergi.
"Mereka menyangka bahawa saya tidak ada keinginan seperti mereka."
Keinginan untuk berdebat mewakili Kampus.
Bahkan keinginan itu menyala-nyala
tetapi terpaksa saya lupakan
hanya kerana PR-Kampus.
Waktu tu saya belum ahli!

Itu sewaktu belum menjadi ahli
dan saya tidak mahu bercerita
sewaktu sudah menjadi ahli dan pimpinan
mengenai harapan dan impian yang terpaksa saya lupakan.

Kadang-kadang terdetik di jiwa,
Ingin keluar jalan-jalan
pergi KFC, Pizza Hut dan sebagainya (saya suka KFC).
Namun keinginan itu terpaksa saya kurangkan,
wang saya salurkan untuk langkah ini.
Setiap kali dapat PTPTN,
mesti rasa pelik.
Cepat benar habis!

Satu ketika saya buka akaun (Bank Islam)
tujuannya adalah untuk Baitul Muslim.
Tetapi tidak bertahan lama.
Duit itu terpaksa saya guna,
Sekali lagi, untuk langkah ini!
Paling memilukan kerap kali
terpaksa pinjam duit daripada Muslimat.

"Mereka menyangka bahawa saya tidak mempunyai perancangan hidup seperti insan lain!"

Mereka sibuk dengan study dan assignment
ingin mendapatkan 3.00 pointer dan ke atas.
Berusaha sedaya demi segulung ijazah
untuk dipersembahkan kepada keluarga.
Kembar selalu ingatkan saya
tentang tanggungjawab seorang anak.
Suatu ketika Kembar message saya.
Penuh emosi (marah).
Tertanya, "sejak bila pla Kembar pandai marah?"
Walaupun saya tahu itu bukan daripada kembar
tetapi saya biarkan kerana itu adalah benar.

"Mereka menyangka bahawa saya melupakan pengorbanan Ibu yang sarat mengandungkan saya. Mereka menyangka bahawa saya melupakan pengorbanan ayah yang siang malam turun ke laut untuk mencari ikan, udang dan sebagainya."

Mereka menyangka bahawa saya tidak melakukan dengan baik,
terlalu mengharap kesempurnaan.
Sehingga saya tewas sehari dengan deraian air mata,
memikir cara yang terbaik untuk mencapai kesempurnaan.
Ayah saya nelayan dan ibu saya suri rumah sepenuh masa,
tidak pernah belajar asas agama.
Begitu juga saya.

Jauh sangat jika dibandingkan dengan Presiden GAMIS.
Kadang-kadang terfikir juga nak jadi begitu.
Tetapi ini sahaja pun kudrat yang ada.
Memang suatu yang normal insan mengharap kesempurnaan.
Alahai! Maafkan saya tidak dapat memberikan kesempurnaan.
Saya tetap yakin bahawa Allah itu maha adil.

Ketika semua datang untuk bercerita,
ketika semua datang untuk mengadu,
ketika semua datang untuk meminta.
Saya datang kepada siapa
untuk bercerita, mengadu, dan meminta?
Tapi itu memang tanggungjawab saya pun!

Kepada ayah dan ibu,
saya tidak pernah lupa laungan harapan itu.
Saya akan tunaikan dengan kudrat yang ada.

Kadang-kadang terasa nak kembali ke alam kanak-kanak
yang tidak pernah tahu
bebanan ayah dan ibunya.
Ingin hidup dengan tidak mengerti apa-apa.
Tapi usia itu tidak mungkin berpatah semula
walau sedikit pun.
Hidup kena teruskan!

Saya ingin bersama dengan bulan dan bintang,
tapi mereka tidak mengerti apa yang saya maksudkan.
Mereka tidak punya daya dan kekuatan seperti kebanyakan insan.
Jangan biarkan saya merindui bulan dan bintang,
mereka tidak tahu apa-apa.
Kalau pun tidak mampu bersama saya berganding tangan,
sekurang-kurangnya lambailah tangan dari jauh.
Berilah harapan!

Aduhai nafas ini!
Berdegup kencang bila melihat
Abdillah dengan pemikirannya,
Adzmin dengan keinginannya,
Nadia dengan semangatnya,
Sumarni dengan kerjanya,
Shila dengan tugas yang bertindih-tindih.
Saya kira mereka ini ditarbiyah di alam Kampus.
Begitu juga sahabat-sahabat dan adiq-adiq yang lain
yang tidak sempat di sebut namanya.

"Kalian sangat berharga daripada apa yang telah dikorbankan.
Kalian juga juga saham yang sangat berharga apabila bertemu dengan Allah kelak.
Semua kalian sangat berharga lebih daripada dunia dan seisinya."


Banyak sangat yang ingin saya kongsikan,
bahkan kesemua itu bisa mengalirkan air mata.
Tetapi cukuplah dengan bingkisan yang sedikit ini.

Bingkisan ini untuk pengajaran.
Walaupun memang tidak dapat di fahami
tetapi ia berguna untuk generasi akan datang.
Mungkin juga amaran untuk mereka yang akan memimpin layar,
Bahawa lautan tidak akan selalunya tenang.
Mungkin di hadapan ada ombak badai yang dahsyat menanti
ingin menghempas layar,
ingin memusnahkan layar.
Kita perlu pertahankan dengan kudrat yang ada
walau bagaimana sekalipun.
Aduhai, kenangan itu.

Kekurangan kudrat memimpin layar ini
bukan bermakna kita lemah dan mahu mengalah.
Bahkan kita bangga dengan kudrat yang ada,
daripadanya kita belajar, jatuh serta bangkit.
Kita tidak pernah takut untuk terus melangkah dan melangkah
kerana keyakinan kita bahawa Allah ada bersama.

Bahkan jiwa kita menyala-nyala,
ingin menanti giliran untuk Syahid.
Tidak ada sebab memaksa kita untuk terus melangkah
melainkan faham kita kerana Janji Allah,
surah at-Taubah, ayat 111.

"ya Allah, jadikan ramadhan ini untuk jiwa kami lebih tegar (istiqamah) di dalam medan ini. Lanjutkan usia kami kiranya usia kami ini berguna untuk kami mendidik generasi kami akan datang. Sekiranya selepas ini kami menderhakai-Mu (futur) di dalam medan ini, maka hentikanlah nafas kami dari muka bumi-Mu. Sesungguhnya kami tidak mampu menanggung bebanan dosa yang berat untuk kami persembahkan kepada-Mu di akhirat kelak. Tolong kami ya Allah, demi kemuliaan-Mu dan bulan ramadhan."

ameen..

Blogger Templates by Blog Forum